Isnin, 6 September 2010

renungan untuk yg dah jadi isteri/bakal menjadi isteri

Boleh menjadi sesuatu yang mengejutkan bila suami yang selama ini tidak berapa ambil kisah tentang penampilan isterinya, tiba-tiba melontarkan komen. Bukan saja terkejut malah ada isteri yang mungkin tersentap dengan kata-kata atau 'kalimat maut' suami ini. Sebenarnya ada sebab suami memberikan komen-komennya. Jadi jangan terus memikirkan yang bukan-bukan malah menganggap suami sudah bosan dengan diri anda. Buang semua tanggapan seperti itu kerana suami ada alasan tersendiri berbuat demikian. Buat para isteri di luar sana, perhatikan teguran atau komen yang sering dilemparkan oleh suami buat anda dan cari sebab mengapa mereka meluahkannya


1. "Pakai Selipar Saja?"
Sememangnya ramai wanita berasa cukup selesa dengan sandal atau selipar bertali ini. Tumitnya yang rata dan ringan membuatkan kaki terasa lebih mudah untuk melangkah sama ada ke pusat membeli-belah, keluar makan atau bersantai.
Namun begitu ada jenis lelaki yang ingin pasangannya menghargai dirinya sendiri dengan tampil rapi dan sopan walaupun mereka keluar bersama hanya untuk bersantai dan bukan untuk ke majlis yang formal.
Penampilan yang rapi dan sopan tersebut tentunya akan memberi kesan kepada suami. Dia akan menjadi lebih yakin berjalan beriringan dengan pasangannya dna dapat juga mengimbangi dengan penampilannya sendiri yang sudah tentu saja tampan. Lagipun suami tentu mahu 'mempamerkan' pasangannya pada teman dalam keadaan yang terbaik.


2. "Aksesori Yang Awak Pakai Ini Tak 'Over' Sangat Ke?"
Memang tak boleh dinafikan, aksesori seringkali menjadi penyelamat untuk menyempurnakan penampilan. Justeru setiap wanita pasti ada koleksi aksesori mereka yang tersendiri. Paling tidak rantai, cincin ataupun anting-anting akan dikenakan. Biarpun mampu menyerikan diri wanita tapi tak mustahil kalau dipakai secara berlebihan boleh memberi kesan yang sebaliknya pula.
Dalam pada itu, kaum lelaki bukan hanya memandang baju yang dikenakan isteri, aksesori walaupun kecil tetap mendapat perhatiannya. Diam-diam dia melihat apa yang ada di tangan, leher mahupun pada rambut isterinya.
Oleh itu, janganlah berlebihan mengenakan aksesori ini kerana suami memerhati apa yang anda pakai. Dia sudah tentu segan keluar bersama anda kalau anda mengenakan terlalu banyak aksesori hingga dilihat seperti pokok krismas bergerak.


3. "Mekap Awak Ni Tebal Semacam Je?"
Sudahlah lama duduk di depan cermin untuk merias wajah, keluar saja dari bilik, suami tiba-tiba memberi komen sebegini. Sedangkan anda sebenarnya cukup berharap suami memberi puji-pujian. Sudah tentu ada isteri yang terasa hati, malah menarik muka bila kata-kata di atas keluar dari mulut suami.
Janganlah begitu. Bila suami memberi komen sebegini, sebaiknya tanyakan kembali kepada suami bahagian mana yang dikatakan terlalu tebal. Iyalah tidak semua wanita arif dalam bab solek menyolek ini. Mana tahu memang anda mengenakan bedak asas yang terlalu tebal, solekan mata yang terlalu gelap atau gincu bibir yang merah menyala. Atau memang suami kurang faham tindakan anda mengenakan 'shading' yang terlalu tebal pada bahagian pipi untuk memberi kesan wajah yang lebih tirus. Beritahu alasan anda agar tidak berlaku salah faham.


4. "Baju Yang Awak Pakai Ni Tak Sesuai La, Ketat Sangat..."
Memang ramai lelaki yang senang melihat keindahan tubuh wanita apatah lagi jika wanita itu memakai pakaian mengikut bentuk tubuh. Perkara ini bukan lagi menjadi rahsia. Namun duni ini penuh dengan keseimbangan, ada juga lelaki yang merasa tidak suka melihat jika pasangannya memakai pakaian yang mengikut badan atau ketat.
Sebabnya sama ada kerana faktor agama dan merasa cemburu bila lelaki lain memperhatikan keseksian tubuh pasangannya. Namun apa yang jelas ada waktu dan tempatnya di mana pakaian seperti ini haru dipakai. Misalnya kalau anda berada di rumah bersama suami saja sudah tentu si dia tidak kisah anda memakai baju ketat biarpun seperti 'sarung nangka' kerana sekurang-kurangnya bolehlah dia menjamu mata.


5. "Cubalah Awak Pakai Tudung Tu Elok-Elok Sikit"
Mungkin ada dua maksud di sebalik komen suami. Pertama, memang anda selalu memakai tudung tidak sempurna, tidak kemas, senget, malah menampakkan jambul ataupun rambut. Sebab kedua, mungkin kerana dia mahu anda mengenakan tudung yang sedikit berfesyen dan bukan lagi seperti gaya tudung ala makcik-makcik.
Ketika keluar dari rumah sama ada untuk bekerja atau bersantai, suami akan melihat ramai wanita mengenakan tudung pelbagai gaya yang memberi kesan yang cukup manis. Jauh di sudut hati dia juga sebenarnya teringin melihat anda berpenampilan sedemikian rupa. Jadi janganlah cepat berkecil hati jika suami memberi komentar begini. Mungkin sudah tiba masanya anda mengubah gaya tudung anda yang mungkin tidak berubah sejak berkahwin dengannya 10 tahun yang lalu.



sumber dari laman forum
hehehe~terasa lak diri ku ini..dgn artikel ni,,aisehh @_@

Tiada ulasan:

Catat Ulasan